Dr Alina Abdul Rahim
Inspiring Stories

Sometimes I would come across stories that inspire me. They might inspire you too.

Home | CONTACT ME | News | Fellowship Awards | Competitions | Research and Consultancy with the Food Industry | Associations | Sports Activities | Media coverage/ activities | INTERNATIONAL PUBLICATIONS | INTERNATIONAL CONFERENCES | LOCAL CONFERENCES | REPORTS | Food Product Development | My first International Seminar | Marketing Own Product | Local Seminars | Bali 2004 | Consultancy - Companies | Connected to the industry | Consultancy Jobs - Surveys | Consultancy - Factory | Developing other skills | Spring in Beijing | Spring in Beijing - part 2 | Scuba | Scuba Certificate | Reserve Officer Training Unit (ROTU) | ROTU-2 | Carl Gustav 84mm Anti Tank Weapon | Air Rifle Shooting | Karate & Taekwando | Off Road Adventure | Off Road Adventure - Part 2 | Inspiring Stories

#From Mingguan Malaysia 20th June 2004

 

Anak pelarian vs anak Malaysia

DUA minggu lalu anda mungkin membaca kisah Marini berjudul Kemiskinan mengajar manusia berjaya. Minggu ini kisah yang saya paparkan lebih menyayat hati, kata pengirim e-mel ini yang saya namakan Suria. Kata Suria kisah Marini membuatkan dia tertarik menyumbang pengalamannya untuk menjadi tatapan anak-anak muda sekarang dan juga golongan ibu bapa muda supaya mereka lebih bertanggungjawab mendidik anak-anak menjadi manusia berguna.

Ketika membaca kisah Suria saya berasa amat tersentuh dengan ceritanya, saya menghubunginya dan ketika berbual di telefon kemudiannya, di bawah ini saya paparkan kisahnya. Harapan saya semoga ceritanya memberi iktibar kepada kita sekeluarga. Semoga kita boleh mendidik anak-anak kita kenal dengan dirinya dan ada semangat jati diri.

"Hati saya terbuka untuk menulis di ruangan DCCK ini kerana saya terkilan dengan telatah anak-anak muda sekarang yang tidak mengambil kesempatan di atas pelbagai jenis kemudahan yang disediakan oleh kerajaan kepada mereka.

"Sebagai contoh, dari sekolah rendah hinggalah ke IPT mereka mendapat kemudahan yang disediakan oleh kerajaan, seperti buku pinjaman, selepas itu mendapat pinjaman kewangan malah ada yang dapat biasiswa, tapi nampaknya tidak ramai daripada kalangan mereka yang benar-benar berusaha untuk mendapat kejayaan cemerlang dalam pelajaran.

"Lepas itu ada pula segelintir mereka yang memberi alasan kemiskinan dan ketidakupayaan keluarga menjadi sebab utama mengapa mereka tidak mampu menyambung pelajaran, malah ada yang lebih teruk lagi mendakwa kemiskinan keluarga punca mereka terjebak dalam masalah sosial seperti dadah dan sebagainya.

"Sebenarnya saya bukan bertujuan meninggi diri, tetapi hanya ingin berkongsi pengalaman hidup dengan pembaca kerana kisah hidup saya tidak pernah saya ceritakan kepada sesiapa walaupun kawan rapat. Bukan niat saya merahsiakan atau malu dengan kenyataan dan kemiskinan hidup dan siapa saya sebenarnya, tetapi pengalaman lalu mengajar saya bahawa semua orang boleh menerima kelebihan tetapi sukar menerima kelemahan individu lain.

"Untuk pengetahuan semua datuk dan nenek sebelah ibu saya berasal dari negeri pantai timur, Semenanjung Malaysia tetapi mereka telah berpindah ke Kampuchea untuk membuka pondok dan mengajar agama dan mengembangkan agama Islam di sana.

"Tetapi pada pertengahan 1970-an, peperangan telah meletus di negara itu. Ayah dan semua adik-beradik ibu saya telah dibunuh. Oleh kerana terlalu sedih dengan apa yang berlaku datuk dan nenek saya meninggal kemudiannya. Mana tidaknya mereka menyaksikan sendiri anak-anak mereka diseksa dan dibunuh depan mata sendiri. Penyeksaan begitu menyayat hati.

"Kata ibu, ayah saya mati kerana diseksa dikelar-kelar. Ketika itu saya masih kecil. Lepas itu ibu meminta orang mengambil mayatnya, malangnya van tersebut pula diletupkan dengan bom. Ibu mengutip cebisan mayat ayah saya yang bertaburan untuk dikuburkan.

"Selepas kematian datuk dan nenek ibu tidak ada tempat berlindung lagi, memandangkan keadaan sudah tidak selamat dan perang pula, ibu yang sedang hamil ketika itu mengambil keputusan tegas meninggalkan kampung halaman membawa lapan orang anak yang masih kecil.

"Ibu membawa saya bersama tujuh orang adik-beradik lain merentas sempadan dengan berjalan kaki melalui hutan belantara. Ketika itu tak kira curam dan paya semua kami rentasi, dengan niat untuk menyelamatkan diri mencari tempat lebih selamat. Kata ibu kami adik-beradik mesti diselamatkan dan pergi ke Malaysia kerana di sana ada saudara-mara, begitu pesan datuk dan nenek. Negara kami sudah tidak selamat lagi.

"Semasa dalam perjalanan kami di dalam hutan itulah sebelum sampai ke sempadan Thailand ibu saya telah melahirkan adik saya yang kesembilan. Tidak ada bidan yang menyambut, hanya Tuhan yang menyelamatkan ibu dan adik. Selepas melahirkan, esoknya pagi-pagi perjalanan mesti diteruskan, sambil mengendong bayi yang baru lahir, ibu berjalan memimpin adik-adik lain meneruskan perjalanan meredah paya, mendaki dan menurun bukit. Ibu hanya berbekalkan semangat yang kuat di samping bertawakal kepada Allah, kerana Ia lebih mengetahui.

"Dalam perjalanan meredah hutan yang memakan masa lebih tiga bulan itulah enam orang adik-beradik saya meninggal dunia. Pelbagai sebab membawa kematian mereka. Ada yang dipatuk ular, demam panas tak kurang juga kerana tak cukup makan. Saya masih ingat lagi waktu itu umur saya baru lima tahun kami cuma makan pucuk-pucuk kayu sahaja, dan sekali- sekala air kanji bukannya bubur. Dan mayat adik-adik, kakak dan abang saya dikuburkan di dalam hutan itulah tanpa sebarang tanda atau batu nisan.

"Saya masih ingat satu hari kami berhenti rehat dalam perjalanan di sebuah hutan, waktu itu hampir malam, kami nampak ada anak air, kerana terlalu dahaga, kami minum air tersebut. Esok paginya ketika nak minum air lagi kami lihat banyak tengkorak. Walaupun waktu itu saya masih kecil, tetapi peristiwanya akan kekal di ingatan saya hingga ke akhir hayat.

"Apabila sampai di sempadan Thailand kami ditempatkan di sebuah kem pelarian, dari situ kami dipindahkan ke Malaysia kerana kami mengaku ada saudara-mara di negara ini. Sekali lagi di Malaysia kami ditempatkan buat sementara di kem pelarian sebelum dijamin oleh keluarga di Malaysia yang membolehkan kami keluar dari kem tersebut.

"Proses jaminan memakan masa sebab keluarga di sini tidak mahu bertanggungjawab dan tidak begitu percaya kepada kami. Tetapi, akhirnya semua selesai dalam keadaan baik dan kami diberi taraf sebagai 'penduduk tetap'. Kerana keluarga kami memang rakyat Malaysia.

"Suasana di negara ini begitu asing bagi kami. Nenek saudara saya (adik pada nenek sebelah ibu saya) telah membenarkan kami tinggal menumpang di tanah beliau. Sebagai permulaan kehidupan kami, ibu terpaksa mengambil upah mencuci pakaian dan membersihkan rumah saudara-mara dan sebagai balasan, ibu dibayar upah dan diberi makan.

"Walaupun ketika itu, saya dan abang sudah layak bersekolah tetapi kami hanya menjejakkan kaki ke sekolah selepas dua tahun kemudian sebab tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu. Bila bersekolah saya sering diejek oleh murid-murid lain dan digelar 'anak pelarian', tambahan pula kami tidak tahu membaca dan menulis. Oleh itu, kami ditempatkan ke kelas pemulihan untuk murid-murid yang tercorot.

"Setelah selesai bersekolah pada sebelah pagi, kami menjaja pakaian untuk dijual pada sebelah petang bagi menampung keperluan hidup. Malahan kami telah dipertanggungjawabkan untuk menjaga adik kami yang ketika itu baru berumur dua tahun dan menyediakan makanan sekeluarga walaupun hanya menggunakan dapur kayu.

"Ketika di sekolah saya tidak pernah makan waktu rehat, jika lapar hanya air paip itulah saja pilihan yang kami ada. Di rumah pula kami cuma makan bubur yang dibuat dari sesudu beras bila hampir masak kami campur dengan sayur kangkung banyak-banyak yang kami petik di sawah, semata-mata untuk menjimatkan beras. Itulah makanan harian kami, malah kami gembira sebab masih ada beras untuk dibuat bubur.

"Suasana di sekolah memang menyedihkan, saya digelar 'tomboi' kerana selalu memakai baju dan seluar lelaki. Sebenarnya pakaian itu bukan kemahuan saya tetapi apa pilihan saya, kata ibu kami perlu menjimatkan belanja, sebab kalau beli baju kurung abang tak boleh pakai, tetapi kalau seluar dan baju lelaki saya boleh berkongsi pakaian abang.

"Kerana tidak tahan dengan kesempitan hidup abang tidak mahu meneruskan persekolahan walaupun mendapat keputusan yang baik dalam SPM. Abang lari dari rumah kerana keputusannya tidak mahu bersekolah menjadi kemarahan ibu. Abang bekerja sebagai budak suruhan di mana-mana kedai yang memerlukan tenaganya. Tetapi setiap bulan abang menghantar duit kepada ibu untuk menampung perbelanjaan pelajaran saya, sebaik saya tamat SPM abang balik ke rumah. Sementara menunggu keputusan STPM saya tolong abang berniaga pakaian di pasar minggu dan pasar malam. Setelah keputusan diumumkan saya berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah di IPTA.

"Dalam kegembiraan kami, ibu terpaksa menggadai cincin pusaka keluarga kami untuk membayar yuran pengajian permulaan saya kerana dengan status 'penduduk tetap' saya tidak layak mendapat pinjaman pelajaran malah terpaksa tanggung semua perbelanjaan lain. Semasa di IPTA saya terpaksa ikat perut demi duit untuk pelajaran.

"Semua rakan saya pelik kenapa saya tidak mahu makan bersama mereka. Ada saja alasan saya berikan mengantuk, hendak ke perpustakaan, dan sebagainya hingga ada yang mengatakan saya sombong, tetapi sebenarnya saya tak ada duit nak makan, makan Maggi sebungkus pun dibahagi dua untuk tengah hari dan malam.

"Semasa cuti semester saya tidak pernah pulang ke kampung kerana bekerja sebagai operator di kilang untuk menampung perbelanjaan harian dan yuran semester. Semasa saya di tahun akhir pengajian, adik saya pula ditawarkan melanjutkan pelajaran di IPTA dalam bidang kejuruteraan kerana dia mendapat keputusan yang baik dalam SPM.

"Akibat kemelesetan ekonomi, setelah tamat pengajian ramai rakan saya memohon mengikuti kursus perguruan lepasan ijazah (KPLI). Tapi saya terpaksa bertungkus-lumus mencari pekerjaan kerana saya belum mendapat kewarganegaraan, saya tidak boleh memohon mengikuti KPLI. Tetapi, akhirnya setelah penat berusaha saya dapat kerja di syarikat swasta. Gaji tiga bulan pertama saya kumpul untuk tebus cincin pusaka yang ibu gadaikan empat tahun sebelum itu untuk membayar yuran pengajian saya.

"Mengenai peribadi saya pula sebagai seorang gadis memanglah kita hendak berteman, tetapi malangnya kawan saya ini datang dari keluarga berada, memang mulanya beliau melahirkan hasrat hati menjadikan saya teman hidupnya, tetapi setelah saya berterus terang beliau menjauhkan diri. Mungkin jodoh kami tak ada, dia putuskan hubungan dengan alasan keluarga tidak dapat menerima saya sebagai anak pelarian.

"Saya tidak mempersoalkan keputusannya, semua individu berhak mencari kebahagiaan sendiri, terpulang kepada mereka membuat pilihan. Susah membincangkan mengenai soal hati dan perasaan. Saya tidak kesal apa yang berlaku. Ibu selalu berpesan jangan disalahkan takdir, Tuhan tahu apa yang terbaik untuk kita. Dan Tuhan mahu kita menjadi hamba yang tabah menghadapi dugaan yang datang.

"Alhamdulillah kini setelah 25 tahun berada di Malaysia saya baru sahaja mendapat taraf kewarganegaraan setelah 10 tahun menunggu permohonan diluluskan. Dan bulan Ogos ini insya-Allah saya akan mendapat ijazah sarjana di IPTA. Inilah cita-cita saya supaya terus maju dalam pelajaran, begitu juga adik saya.

"Hasrat saya selepas ini, dan setelah berunding adik-beradik, kami akan menghantar ibu mengerjakan ibadah haji tahun depan. Dan yang lebih penting ibu tidak perlu lagi bekerja untuk mencari makan, kami bekerja keras untuk kesenangannya. Walaupun kami bukan kaya. Tapi abang kini berjaya dalam perniagaannya dan telah berumah tangga. Beliau juga telah memiliki rumah dan kenderaan untuk kegunaan persendirian dan perniagaannya.

"Hanya satu impian saya yang belum tercapai iaitu memiliki rumah sendiri dan membawa ibu tinggal bersama. Namun apa yang penting kami adik-beradik saling tolong-menolong antara satu sama lain. Tetapi bila bersama adik-beradik kami sering membayangkan bagaimanakah wajah ayah kerana kami tidak ada gambarnya, semuanya musnah kerana peperangan.

"Melalui ruangan DCCK ini saya ingin menasihatkan anak-anak muda sekarang bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan yang memberi peluang kepada anda untuk belajar. Jangan jadikan masalah keluarga sebagai alasan melibatkan diri dalam masalah sosial. Sebenarnya anda adalah rakyat paling bertuah dilahirkan di Malaysia. Semua ada dan disediakan. Apa yang penting adalah usaha. Kebahagiaan dan kesenangan tak datang bergolek. Ia harus dicari dan memerlukan usaha serta pengorbanan," demikian cerita Suria.

Saya tak perlu mengulas apa-apa tentang cerita Suria ini, tapi inilah isi hati anak dagang. Kita patut lihat ke dalam diri kita apakah kita tersalah didik anak-anak kita, apakah dengan memberi mereka kesenangan hidup mereka boleh berjaya dalam hidup? Apakah anda sudah berjaya ataupun sebaliknya?

dcckmonaum@hotmail.com


Enter supporting content here